Saturday 20 September 2008

Insurans

Ada kawan saya cukup takut kalau ada agen insurans nak jumpa dia. Saya pun tak tau kenapa orang macam dia takut sangat nak jumpa agen insurans. Jadi saya bertanya. Memang dia takut jumpa agen insurans sebab katanya cerita pasal mati je. Patutla. Mungkin cara agen-agen insurans ni promosikan produk insurans ni tak sesuai.
Saya ingat lagi semasa saya masih belajar dulu. Saya minat nak tau mengenai insurans ni. Jadi saya memohon latihan praktikal di salah satu agensi insurans. Selama 3 bulan saya di sana sempatlah juga saya mengambil peperiksaan di bawah kelolaan Institut Insurans Malaysia. Alhamdulillah saya lulus tanpa perlu baca apa-apa bukupun. Selama 3 bulan jugalah saya mendalami maksud sebenar dan tujuan insurans ni diadakan. Agensi ni merupakan agensi insurans nyawa. Nyawa?
Sedikit sebanyak saya nak cerita di sini, tujuan insurans ni bukan untuk menilai atau membayar harga nyawa kita. Nyawa anda tidak ternilai. Tapi insurans ni sebenarnya bertujuan menilai risiko yang akan berlaku kepada orang di bawah tanggungan anda sekiranya berlaku musibah kepada diri anda. Tak kiralah sama ada anda sakit, kemalangan, mengalami kecacatan ataupun kematian. Cuba anda tanya diri anda sendiri, apakah yang akan berlaku kepada tanggungan anda sekiranya ini berlaku kepada anda. Siapakah lagi yang ada untuk mereka mengadu? Mungkin masih ada keluarga. Tetapi berapa banyak sangat yang boleh diberikan oleh keluarga, terutamanya bantuan kewangan?
Di sinilah pentingnya insurans. Pada masa ini ada dua jenis insurans iaitu konvesional dan takaful. Walaupun pendekatannya berbeza namun tujuannya sama iaitu mengurangkan risiko tangunggan anda apabila anda ditimpa musibah.
Pada masa saya mula bekerja dulu, setelah mendapat gaji pertama saya terus mencari agen takaful. Saya mengambil polisi yang sesuai untuk saya.
Apabila anda mengambil sesuatu polisi insurans, anda perlu membuat sedikit bayaran yang dinamakan premium untuk menampung risiko yang mungkin berlaku. Jangan lupa letakkan nama pewaris atau bakal penerima wang tuntutan nanti. Jika berlaku musibah kepada anda, tanggungan anda boleh menuntut bayaran insurans. Bayaran itulah yang boleh digunakan untuk tanggungan anda sama ada untuk menampung hidup dengan membuat pelaburan ataupun perniagaan. Sebelum risiko menimpa anda nasihatkanlah kepada tanggungan anda agar tidak membelanjakan bayaran tuntutan insurans yang bakal diterima kelak sewenang-wenangnya. Gunakan dengan berhemah. Kadang-kadang orang kita akan menghabiskan serta-merta wang yang banyak kepada kehendak. Dahulukan keperluan, jangan dahulukan kehendak. Jika anda rasa insurans ini penting untuk anda. Mulakan langkah segera sebelum musibah menimpa. Hanya anda sendiri boleh membantu keluarga anda. Carilah agen insurans yang boleh dipercayai dan syarikat insurans yang kukuh. Pilihlah polisi yang sesuai untuk anda. Agen insurans boleh membantu anda untuk mendapatkan polisi yang sesuai. Saya bukan agen insurans tetapi sekadar ingin berkongsi pengalaman dan pengetahuan untuk kesenangan anda dan keluarga di masa hadapan. Jangan lupa ada sesetengah polisi akan membayar anda apabila anda dimasukkan ke hospital. Banyak lagi keuntungan apabila anda mengambil polisi insurans. Rujuklah agen yang berkelayakan. Demi keluarga dan anda. Jangan anda tinggalkan keluarga anda dalam kesusahan suatu masa nanti.

No comments: